"Bodoh! Benci, benci, benci!" Inilah reaksi awalku, apabila aku tahu kawan-kawan mempermainkanku. Allah saja yang tahu betapa sakitnya hatiku. Sudahlah dipermainkan, ditabur harum pula dengan fitnah. Sakitnya tidak terperi. Semalaman aku menangis, sakit bila dikianati mereka yang digelar sahabat.
Malam itu, usai solat Isyak, aku memulakan niat untuk bersolat hajat. Aku nak minta pada Allah supaya diturunkan bala yang dahsyat pada mereka yang menganiayaiku. Biar! Biar mereka rasa, sakit yang aku rasakan. Aku nak hajatkan supaya mereka yang menyelarku rasa, apa yang aku alami. Aku nak sepanjang hidup mereka, mereka akan temui kecelakaan dalam setiap langkah yang ditapakkan.
Sakit hati bercampur bisikan syaitan, inilah hasilnya. Aku lakukan solat hajat dengan mata yang sembam dek seharian menangis. Bagiku, pasti Allah akan memberikan keadilan padaku. Doa orang teraniaya pasti termakbul.
Namun, ketika sujud terakhirku, bukan itu yang kuhajatkan buat mereka. Bukan kecelakaan. Bukan bala malapetaka. Sebaliknya aku berhajat supaya aku diberi kekuatan untuk menempuh ujiandari-Nya. Aku berdoa agar rakan-rakanku diberikan hidayah dan diampunkan dosa mereka. Dan aku berdoa agar aku dapat menerima dengan reda ujian-Nya. Sujudku penuh dengan air mata. Sayu.
Alhamdullilah, selesai sudah solat hajatku. Hatiku kini tenang. Damai. Bagaikan tiada kekusutan yang pernah berlaku. Rupa-rupanya, kemaafan itu dendam yang termanis untuk sebuah pembalasan.
"Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu?
(Surah an-Nur : Ayat 21)
(Surah an-Nur : Ayat 21)
"Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."
(Surah Ali-Imran: Ayat 134)
(Surah Ali-Imran: Ayat 134)
Kepada semua yang pernah menghadapi masalah sepertiku; dituduh, dianiaya dan dipulaukan.Janganlah kita berdendam dan ingin saling berbalas. Dendam pasti tiada berkesudahan. Allah menyukai orang yang bersih hatinya. Biar ada yang menggelar kita bodoh dan dungu kerana tidak mahu bertindak balas, biar mulut sekeliling mengata keras,yang penting keredaan ada bersama kita.
Kadang-kadang Tuhan menyembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya Tuhan hendak memberi kita pelangi. Lepas apa yang berlaku, bilangan rakanku mula bertambah, bukan hanya dalam kampus sahaja, luar kampus pun ada dan mula rapat dengan rakan-rakan bekas sekolah dulu.
Alhamdullilah. Aku panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi.
Buat mereka yang pernah aku sakiti tanpa sengaja atau secara sengaja, aku memohon kemaafan untuk segala silap dan salahku, dan aku juga memaafkan setiap silap dan salahmu.
0 ulasan:
Catat Ulasan